Tuesday, July 19, 2011

CERITA BINATANG


CERITA BINATANG

CERITA binatang merupakan kumpulan cerita-cerita yang menjadikan binatang sebagai watak-wataknya. Sungguhpun begitu, kadangkala terdapat juga watak manusia yang diselitkan di dalamnya, tetapi bukan sebagai watak utama. Antara watak manusia yang sering wujud dalam cerita-cerita ini ialah watak Nabi Sulaiman. Walau bagaimanapun, watak ini cuma hadir pada namanya sahaja. Watak-watak binatang ini diberikan sifat-sifat boleh bercakap, berfikir dan bertindak seperti manusia biasa (Shaiful Bahri Md. Radzi, 2000). Cerita-cerita ini sarat dengan unsur moral dan merupakan kiasan kepada tingkah laku manusia. Selain menghibur, kanak-kanak yang menjadi sasaran utama cerita ini didedahkan dengan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya.
Dalam perbendaharaan warisan sastera rakyat Melayu, sang kancil atau pelanduk merupakan watak binatang yang sangat popular. Sebagai binatang kecil, sang kancil dibekalkan dengan kecerdikan yang tinggi sehingga berkeupayaan untuk mengalahkan binatang yang lebih besar daripadanya seperti harimau, gajah, ular, buaya dan sebagainya. Dalam hal ini, sang kancil melambangkan insan lemah yang cuba membebaskan diri daripada kongkongan kuasa yang lebih besar (Shaiful Bahri Md. Radzi, 2000).
Terdapat tiga peranan utama yang dibawa oleh sang kancil dalam cerita-cerita ini, iaitu sebagai binatang yang cerdik tetapi berupaya menewaskan binatang yang lebih besar dengan menggunakan akal. Kedua, ia bertindak sebagai hakim dalam sesuatu pertikaian, dan yang ketiga, sebagai binatang yang ditewaskan oleh binatang yang lebih kecil daripadanya. Sungguhpun cerita Sang Kancil merupakan cerita binatang terbesar dalam koleksi cerita binatang Melayu, terdapat juga cerita lain yang menggambarkan binatang seperti katak, tikus, helang, dan siput selaku watak utama (Jamilah Haji Ahmad, 1993).

KATAK MEMBUNUH GERGASI
PADA suatu hari di dalam sebuah hutan, turunlah hujan ribut yang amat lebat, serta dengan kilat sabung-menyabung bagaikan dunia akan kiamat lakunya. Pada ketika itu, ada Gergasi sedang duduk di dalam rumah yang amat besar di atas sebuah bukit.
Apabila mendengarkan ribut taufan yang amat kuat serta melihat kayu-kayu besar tumbang dan dahan kayu jatuh ke bumi maka berfikirlah Gergasi itu, "Kayu-kayu habis tum­bang dipukul angin. Dahan-dahan besar habis patah dipanah pear. Entah bila pula rumah aku akan ditimpa bala. Kalau begitu baiklah aku keluar daripada rumahku ini. Kalau ribut sampai ke mari, habislah rumah ini, matilah aku terhumban ke bawah bukit."
Setelah berfikir begitu, maka Gergasi pun membuka pintu rumahnya lalu turun ke tanah. Apabila dilihatnya rumahnya bergoyang ditiup ribut ia pun lari sekuat hatinya. Kerana kecemasannya itu, tiada sedar ia terlanggar seekor anak harimau. Anak harimau itu jatuh terhumban ke bawah bukit.
Dalam masa Gergasi itu lari ke dalam hutan membawa dirinya, maka banyaklah binatang-binatang besar dan kecil dilanggarnya. Mana-mana yang tidak sempat melarikan diri habis mati dipijaknya. Apabila angin taufan telah reda, duduklah ia di pangkal sepohon kayu. Sambil duduk itu ia mengesat darah di tubuh badannya yang luka-luka ditimpa oleh dahan-dahan kayu. Pada ketika itu maka berfikir pula ia, "Tak guna aku duduk di sini. Badan aku bertambah sejuk dan bengkak-bengkak ditimpa oleh dahan-dahan kayu. Lebih baik aku pulang melihat rumahku, entah runtuh entah tidak."
Lalu ia pun pulanglah ke rumahnya dan didapati rumah-nya tiada rosak. la pun naik dan menggosok-gosok badan yang lebam-lebam biru kerana ditimpa oleh dahan-dahan kayu itu. Dengan hal yang demikian, maka duduklah ia mengerang menanggung kesakitannya.
Tidak berapa lama kemudian, ribut dan petir itu pun redalah. Hujan pun reda juga. Maka segala katak pun berkumpullah di dalam sebuah lubang yang tiada berapa jauh daripada rumah Gergasi itu. Riuh-rendahlah bunyi katak itu bersuka-sukaan. "Ong! Ang! Ong! Ang! Ong! Ang!" Bersahut-sahutan dengan tiada berhenti-henti hinggakan tiada kedengaran bunyi binatang-binatang lain.
Gergasi yang mengerang kesakitan itu sangat marah mendengarkan bising bunyi katak itu lalu ia berkata, "Celaka sungguh katak-katak itu! Aku sakit bengkak-bengkil ditimpa kayu, dia duduk bersuka-suka, berdikir, menyanyi, dan bersorak riuh-rendah seperti hutan ini dia yang punya!" Semakin kuat Gergasi itu marah semakin bising bunyi katak itu. Maka panaslah hatinya sambil ia berkata, "Baik aku bunuh semua katak itu, baharu boleh senyap."
Dengan tidak berlengah lagi, Gergasi itu pun turunlah berlari-lari menuju ke lubang tempat katak-katak itu bersuka-suka. Oleh sebab ia terlalu marah, maka banyaklah semut api yang merayap-rayap di tanah mati dipijaknya. Seekor ular sawa patah tulang belakangnya kena pijak dan seekor burung pikau putus ekornya. Apabila sampai ia ke lubang tempat katak itu bersuka ria, ia pun memijak katak-katak yang berbunyi itu. Maka matilah semuanya, hanya tinggal seekor katak betina yang duduk menjaga telurnya di dalam sebuah lubang.
Pada sangkaan Gergasi itu semua katak di dalam lubang itu telah mati. la pun baliklah ke rumahnya, sambil menahan kesakitannya. Hatinya senang kerana tiada lagi diganggu oleh bunyi katak yang riuh-rendah.
Maka tersebutlah kisah Sang Katak yang menjaga telurnya itu. Apabila dilihatnya Gergasi itu telah tiada lagi maka keluarlah ia daripada lubang tempat ia bersembunyi dan berjalan ke tempat kaum kerabatnya. Wah! Alangkah terperanjatnya ia kerana dilihatnya semua kaumnya itu telah mati dilanyak oleh Gergasi. Bangkainya berkaparan di dalam lubang itu. Maka menangislah ia mengenangkan nasibnya.
Katak betina itu pun berfikir di dalam hatinya, "Jikalau beginilah ganasnya perbuatan Gergasi ini tentulah susah anak-anakku yang masih di dalam telur itu hendak hidup. Kalau begitu baik aku cari helah membunuhnya. Akan tetapi, apa dayaku kerana aku binatang yang kecil lagi lemah."
Katak betina itu pun berfikir bagaimana hendak mencari pertolongan untuk menuntut bela di atas kekejaman Gergasi yang telah membunuh kaum kerabatnya itu.
Setelah putuslah fikirannya maka berjalanlah Sang Katak itu terlompat-lompat. Sejurus kemudian berjumpalah ia dengan seekor semut api yang sedang menangis sambil meratap. Maka Sang Katak itu pun bertanyalah kepada Semut Api seraya katanya, 'Ayuhai sahabat hamba Semut Api! Mengapalah sahabat hamba menangis ini? Ceritakan kepada hamba."
"Kalau tuan hamba ingin mengetahuinya bolehlah hamba ceritakan," jawab Semut Api. "Akan tetapi, hamba fikir tentu sekali tuan hamba tidak dapat menolong hamba. Hamba menangis ini ialah kerana saudara-mara hamba habis mati semuanya dipijak Gergasi. Lihatlah bangkainya yang bergelim-pangan ini. Sekarang hamba seekor sahaja lagi yang hidup. Oleh sebab hamba ini binatang yang amat kecil, bagaimana-kah dapat hamba hendak menuntut bela? Tidak terlintas di hati hamba bagaimana jalan hendak membunuh Gergasi itu."
Maka dijawab oleh Sang Katak, "Wahai Semut Apt! Janganlah tuan hamba bersusah hati, kerana nasib kita berdua sama sahaja. Anak lelaki dan saudara-mara hamba pun habis semuanya mati dipijak-pijak dan dibunuh oleh Gergasi itu. Yang hidup hanyalah hamba seekor. Oleh sebab Gergasi itu telah berdosa membunuh saudara-mara kita, maka wajiblah kita menuntut bela. la mesti kita bunuh sampai mati. Jikalau ia masih hidup juga nescaya anak cucu kita akan binasa. Se­karang wahai sahabat, sila beritahu hamba adakah tuan hamba sanggup bekerjasama dengan hamba membunuh Gergasi yang zalim itu?"
"Hamba sanggup bekerjasama dengan tuan hamba, kerana apalah gunanya hamba tinggal sebatang kara di dunia ini. Sekarang, ceritakanlah apa cadangan tuan hamba," kata Semut Api.
Dengan sukacitanya Sang Katak pun berkata, "Sekarang mari kita pergi ke rumah Gergasi itu, kemudian tuan hamba masuk ke dalam telinganya. Setelah dapat tuan hamba masuk, maka gigitlah anak telinganya. Pada masa itu tentu ia akan menjerit-jerit kesakitan dan memukul-mukulkan kepalanya kepada tiang rumahnya ataupun lari daripada rumahnya. Pada masa itu barulah tuan hamba keluar daripada lubang telinga­nya."
"Baiklah," jawab Semut Api"Kalau begitu sangguplah hamba."
Maka berjalanlah binatang berdua sahabat itu menuju ke rumah Gergasi. Tidak lama kemudian, berjumpalah mereka dengan seekor ular sawa yang amat besar akan tetapi cuma kepalanya sahaja yang dapat bergerak-gerak. Apabila dekat, maka Sang Katak pun bertanya, "Ayuhai Sang Ular! Mengapa tuan hamba tidak bergerak-gerak?"
Mendengarkan pertanyaan Sang Katak itu maka Sang Ular pun menjawab, "Wahai Katak! Hamba ini telah patah tulang belakang dipijak oleh Gergasi. Tuan hamba ini hendak ke mana?"
Kata Sang Katak, “Ayuhai sahabat hamba, Sang Ular! Tidakkah tuan hamba hendak menuntut bela di atas perbuatan Gergasi bedebah itu? Hamba dengan sahabat hamba Semut Api hendak pergi membunuh Gergasi itu untuk menuntut bela. la telah membinasakan saudara-mara hamba dan anak-beranak sahabat hamba ini. Oleh sebab Gergasi itu telah menganiayakan tuan hamba, marilah kita bersama-sama pergi membunuhnya. Tentulah lebih baik kita pergi beramai-ramai daripada kami berdua sahaja."
Mendengarkan kata Sang Katak itu maka Sang Ular pun berkata, "Ayuhai sahabatku, Sang Katak dan Semut Api! Hamba sangat sukacita hendak berserta dengan tuan hamba, akan tetapi apalah dayanya kita hendak membunuh Gergasi itu kerana ia kuat. Alangkan hamba sebesar ini tiada sanggup melawannya. Hamba tak dapatlah hendak pergi bersama kerana hamba tiada dapat bergerak lagi."
Maka Sang Katak pun berkata pula, "Ayuhai sahabat hamba! Oleh sebab tuan hamba tiada dapat bersama-sama pergi membunuh Gergasi itu, berilah seorang anak cucu tuan hamba pergi bersama-sama kami."
Maka sahut Sang Ular, "Kalau begitu, baiklah wahai sahabat hamba, Sang Katak. Biarlah hamba panggil seekor anak cucu hamba supaya ia pergi bersama-sama tuan hamba membunuh Gergasi itu." Dengan tidak berlengah lagi, maka Sang Ular itu pun memanggil seekor cucunya, Ular Senduk.
Maka datanglah Ular Senduk ke hadapan datuknya. la sangat sukacita kerana dilihatnya di sisi datuknya ada seekor katak. la pun bertanya kepada datuknya, "Wahai datuk! Mengapa datuk panggil cucu? Datuk suruh cucu memakan katak inikah?"
Ular Sawa pun menjawab, "Wahai cucuku!Jangan engkau bunuh katak itu. Sang Katak ini ialah sahabat aku dan aku memanggil engkau kerana aku hendak menyuruh engkau pergi mengikut dia membunuh Gergasi yang telah memijak aku ini. Jikalau tidak dengan pertolongan Sang Katak ini, tentu sekali tidak dapat kita mengalahkan Gergasi itu. Selagi belum Gergasi itu dibinasakan tentu sekali kehidupan kita dan segala binatang di dalam hutan rimba ini tiada akan terselamat. Janganlah engkau mengusik-usik Sang Katak ini. Tanyalah dia apakah pertolongan yang dapat engkau berikan kepadanya untuk membunuh Gergasi itu. Engkau lihatlah keadaan aku yang telah dipijak oleh Gergasi itu. Tulang belakang aku telah patah dan aku tidak dapat bergerak lagi. Sebab itu aku harap kepada engkau supaya jangan menyapu arang di muka aku, dan hendaklah engkau bekerjasama dengan Sang Katak."
Mendengarkan percakapan datuknya itu maka Ular Senduk pun berkata, "Wahai Sang Katak! Berilah tahu hamba apakah pertolongan yang tuan hamba pinta hamba jalankan supaya dapat kita bersama-sama membunuh Gergasi yang bengis itu."
Kata Sang Katak, "Wahai Ular Senduk! Sekarang tuan hamba ikutlah hamba pergi ke rumah Gergasi itu. Apabila sampai di rumah itu maka hendaklah tuan hamba naik ke rumahnya dan masuk ke dalam tempayan airnya. Hendaklah tuan hamba patuk tangannya."
"Kalau begitu, baiklah. Hamba bersetuju mengikut tuan hamba," jawab Ular Senduk.

Maka Sang Katak, Semut Api dan Ular Senduk pun berjalanlah menuju ke rumah Gergasi. Di tengah jalan, berjumpalah mereka dengan seekor burung pikau. Maka Sang Katak pun berkata, "Wahai sahabat hamba Sang Pikau! Apakah tuan hamba buat di sini dan mengapakah ekor tuan hamba begini?"
Mendengarkan pertanyaan Sang Katak itu Sang Pikau pun menjawab, "Ayuhai Katak! Hamba ini di dalam kedukaan kerana ekor hamba habis tercabut dipijak oleh Gergasi bedebah itu. Jikalau hamba tidak dapat menyembunyikan diri di tepi kaki gajah tentu sekali hamba telah mati dilatamnya. Akan tetapi, apalah yang dapat hamba lakukan kerana hamba kecil dan tidak berupaya membinasakan dia. Sekarang tuan hamba sekalian hendak pergi ke mana?"
Sang Katak pun menjawab, "Kami hendak pergi ke rumah Gergasi itu kerana hendak membunuhnya. Selagi ia belum mati kita sekalian akan binasa. Saudara hamba dan saudara-mara Semut Api semua habis mati dilatamnya, dan Sang Ular, datuk Ular Senduk ini patah tulang belakang dipijaknya. Marilah tuan hamba pergi bersama-sama dengan kami membunuh Gergasi itu.
Jawab Sang Pikau, "Hamba sangat suka pergi bersama-sama tuan hamba. Akan tetapi, apakah kerja yang boleh hamba buat? Hamba ini kecil, tambahan pula hamba tiada apa-apa kepandaian."
Sang Katak pun menjawab, "Wahai Pikau! Janganlah tuan hamba susahkan. Sekarang eloklah kita pergi bersama. Apabila sampai di rumahnya, tuan hamba bersembunyilah dekat abu di atas dapurnya. Semut Api akan masuk ke dalam telinga Gergasi itu. Apabila Gergasi itu berasa sakit kerana anak telinganya kena gigit oleh Sang Semut, tentu ia pergi ke dapur menghidupkan api kerana hendak melihat apa yang telah masuk ke dalam telinganya. Apabila ia membongkokkan kepalanya kerana meniup unggun di dapurnya itu hendak-lah tuan hamba memupur kuat-kuat supaya abu dapur itu masuk ke dalam matanya. Gergasi itu tentu pergi ke tempayan air kerana hendak membasuh matanya. Pada ketika itu Ular Senduk akan mematuk tangannya."
"Kalau begitu fikiran tuan hamba, mahulah hamba mengikut tuan hamba," jawab Sang Pikau.
Setelah mendapat persetujuan Sang Pikau itu maka Sang Katak pun memandang kepada Sang Gajah seraya berkata, "Hai Sang Gajah! Mengapa tuan hamba duduk termenung begini?"
Gajah pun menjawab, "Hamba ini susah hati kerana tiada mendapat garam. Tabung garam hamba habis dibinasakan oleh Gergasi bedebah itu. Sudah lama hamba tidak merasa garam. Di mana boleh hamba mendapatkan garam?"
Mendengarkan pertanyaan Sang Gajah itu maka Sang Katak pun berkata, "Kalau tuan hamba hendakkan garam marilah ikut kami, kerana di rumah Gergasi itu tentu ada banyak garam."
"Hai! Tidaklah mahu hamba ke sana," jawab Sang Gajah seraya berkata lagi, "Dahulu nyaris lagi hamba mati direm-puhnya. Hamba tidak berani melawan Gergasi itu. Sekira-nya hamba disuruh pergi ke belakang rumahnya hamba sanggup."
Maka Sang Katak pun melompat-lompat ke hadapan gajah seraya berkata, "Wahai Sang Gajah! Hamba berhajat menyuruh tuan hamba bersembunyi di belakang rumah Ger­gasi itu. Apabila Semut Apt masuk ke dalam telinga Gergasi itu dan Sang Pikau memupur abu ke matanya hendaklah tuan hamba menggoyang rumah Gergasi itu dari belakang. Apa­bila bergoyang sahaja rumah Gergasi itu tentulah tabung garamnya akan jatuh ke tanah. Pada masa itu, barulah tuan hamba dapat garam yang banyak."
"Kalau begitu flkiran tuan hamba, sangguplah hamba pergi bersama-sama," jawab Sang Gajah.
Maka berjalanlah Sang Katak, Semut Api, Ular Senduk, Sang Pikau dan Sang Gajah menuju ke rumah Gergasi. Tidak berapa lama berjalan, berjumpalah mereka dengan seekor harimau betina yang sedang menangis teresak-esak mengha-dapi bangkai anaknya. Melihatkan kelakuan ibu harimau itu maka Sang Katak pun berhenti seraya bertanya, "Ayuhai Sang Harimau! Mengapakah tuan hamba berkeadaan demikian ini?"
Ibu harimau menjawab, "Hai Sang Katak! Tak tahulah hamba hendak katakan. Nak dikatakan dimamah, tentulah ada lukanya. Hendak dikatakan kena pijak, tentulah melepek. Beginilah keadaan anak hamba ini. Hamba jumpa di tepi lereng bukit, tulang-tulangnya habis remuk-redam. Hamba fikir tentu anak hamba ini ditendang oleh Gergasi. Akan tetapi, apa boleh buat kerana tiada siapa yang berani membunuh atau menghalau Gergasi itu pergi dari sini. Selagi ia hidup atau tidak berundur dari sini tiada siapa pun yang akan terselamat daripada bahaya Gergasi laknat itu. Tuan hamba ramai-ramai ini hendak pergi ke mana?"
Maka jawab Sang Katak, "Kami sekalian hendak pergi membunuh Gergasi itu. Marilah tuan hamba pergi bersama-sama dengan hamba."
"Tidaklah berani hamba pergi ke rumahnya. Sedangkan anak hamba yang tidak berdosa lagikan dibunuhnya, apatah lagi kita sekalian datang hendak membunuhnya," jawab Sang Harimau.
Kata Sang Katak, "Wahai sahabat hamba. Sang Harimau! Hamba dan sahabat-sahabat hamba ini pun takut akan Gergasi itu, tetapi kalau kita tidak bunuh dia tentu sekali kita tidak akan selamat. Sekarang marilah ikut kami. Jikalau tuan hamba takut hendak datang dekat-dekat, bersembunyilah sahaja di bawah titi berhampiran dengan jamban itu. Apabila Gergasi itu turun ke jamban, ketika itulah tuan hamba terkam dan gigit tengkuknya. Lepas itu tuan hamba tolakkan ia ke dalam sungai. Tentu ia akan hanyut. Sekarang, tuan hamba dengar baik-baik rancangan hamba. Apabila Semut Api masuk ke dalam lubang telinga Gergasi, ia akan menggigit anak telinga Gergasi itu. Apabila Gergasi berasa sakit tentulah ia pergi ke dapur memasang api kerana hendak melihat binatang apakah yang telah masuk ke dalam telinganya. Tatkala ia menghi-dupkan api di dapurnya, pada ketika itu Sang Pikau memupur matanya dengan abu dapur. Setelah matanya dimasuki abu, tentu ia pergi ke tempayan hendak membasuh matanya itu. Ketika itulah Ular Senduk yang bersembunyi di dalam tem­payan air mematuk tangan Gergasi itu. Apabila ia menjerit dengan kesakitan kerana dipatuk oleh Ular Senduk itu, maka barulah Sang Gajah yang sedia menanti di belakang dapur rumah Gergasi itu menggoyang-goyangkan rumah itu, dan ketika itu tentulah ia keluar daripada rumahnya menuju ke jamban mencari air membasuh matanya. Pada masa itu hendaklah tuan hamba terkam dia. Sekarang, bagaimanakah pula fikiran tuan hamba?"
Maka dijawab oleh Sang Harimau, "Kalau begitu sangguplah hamba pergi bersama-sama, tambahan pula hari sudah jauh malam. Apabila matahari terbit tentulah susah kita hendak menghampiri rumah Gergasi itu, takut-takut kalau dilihat olehnya."
Maka Sang Katak, Semut Api, Ular Senduk, Sang Pikau, Sang Gajah dan Sang Harimau itu pun berjalanlah menuju ke rumah Gergasi. Dari jauh lagi mereka mendengar suara Gergasi itu mengerang kesakitan. Maka takutlah ia dan tiada-lah mahu ia mara lagi, seluruh badan mereka menggeletar kerana ketakutan. Melihatkan kelakuan sahabat-sahabatnya itu maka Sang Katak pun berkata, "Tuan-tuan semua tunggu di sini. Apabila tuan hamba mendengar Gergasi itu meraung dengan kesakitan hendaklah tuan hamba datang dan pergi ke tempat masing-masing."
Setelah berkata demikian, maka Sang Katak, Semut Apt, tJlar Senduk dan Sang Pikau pun pergilah menghampiri rumah Gergasi itu. Apabila sampai di rumah itu maka Semut Apt, Ular Senduk dan Sang Pikau pun naiklah ke rumah Gergasi. Setelah semua sahabat-sahabatnya telah naik ke rumah Gergasi itu maka Sang Katak itu pun masuk ke bawah lesung menyembunyikan dirinya. Ular Senduk dan Sang Pikau pergi ke dapur Gergasi. Dengan tidak berlengah-lengah lagi, maka Semut Apt pun perlahan-lahan merayap lalu masuk ke dalam lubang telinga Gergasi itu serta menggigit anak telinga-nya, Maka menjerit-jeritlah Gergasi itu kerana kesakitan seperti halilintar membelah bumi lakunya. Setelah didengar oleh Sang Gajah dan Sang Harimau suara Gergasi itu menjerit-jerit kesakitan, maka berlari-lari ia mengambil tempat masing-masing.
Oleh sebab terlalu amat sakit telinganya digigit oleh Semut Api itu maka Gergasi itu pun pergi ke dapur hendak menyala-kan api. Apabila dilihat oleh Sang Pikau akan kelakuan Ger­gasi itu, maka ia pun memupur abu dapur ke mata Gergasi. Menjerit-jeritlah Gergasi itu menahankan kesakitan.
Setelah mata Gergasi itu dimasuki abu, maka pergilah ia ke tempayan menyeluk air. Pada saat itulah Ular Senduk yang di dalam tempayan itu mematuk tangan Gergasi. Oleh sebab tak tertahan akan bisa Ular Senduk itu, maka bertempiklah Gergasi itu sekuat-kuat hatinya. Apabila didengar oleh Sang Gajah, maka Sang Gajah pun merempuh rumah Gergasi itu. Pada fikirannya rumahnya hendak runtuh, maka Gergasi pun berlari ke pintu dan terus terjun ke tanah serta berlari sekuat-kuat hatinya menuju ke tepi sungai. Melihatkan kelakuan Ger­gasi yang tidak tentu arah itu, maka Sang Harimau pun melompat dan menerkam. Gergasi itu dapat melepaskan dirinya daripada Sang Harimau, kerana dia lebih kuat lagi. Tetapi, oleh sebab ia berlari terlalu deras, ia langsung terlajak masuk ke dalam sungai. Arus sungai itu terlalu kuat. la tak dapat hendak melawannya, maka matilah Gergasi itu kerana lemas lalu hanyut dibawa arus.
Setelah diketahui oleh sekalian binatang-binatang bahawa Gergasi itu telah mati, maka mereka pun baliklah ke tempat-nya masing-masing dengan tiada diganggu lagi oleh sesiapa pun.
Sumber: Dipetik daripada Zakaria Hitam. (peny.), 1965.
Si Bijak di Hutan. Kuala Lumpur: Eastern Universities Press

No comments:

Post a Comment